Breaking News
Loading...

Awas jangan guna minyak masak lebih dari sekali




PETALING JAYA: Pusat Racun Negara memberi amaran bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali boleh menyebabkan hipertensi, merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Pakar runding Pusat Racun Negara, Dr T.Jayabalan berkata, minyak masak tidak sepatutnya digunakan lebih dari sekali.

"Apabila digunakan berulang kali, tahap kelikatan hidrokarbon di dalam minyak masak meningkat dan menyebabkan salur arteri tersumbat, hipertensi dan merosakkan hati.

"Kebanyakan pengguna tidak membuang minyak yang telah digunakan. Mereka menyimpannya di dalam bekas untuk digunakan sekali lagi sebelum dibuang" katanya ketika dihubungi The Star.

Pertubuhan Kajian dan Pembangunan Kualiti Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Unipeq Sdn Bhd yang menjalankan ujian ke atas 19 jenama minyak masak mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan minyak masak dalam bungkusan 1 kilogram.

"Berdasarkan piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, minyak masak itu tidak sihat," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Siti Noor Baiyah Abdul Malek.
Minyak masak yang dijual dalam bungkusan 1 kilogram (kg) di pasaran mungkin dikitar semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi berkata, ujian yang dijalankan ke atas 19 jenama minyak masak murah di seluruh negara mendapati minyak masak yang telah digunakan dan didedahkan pada haba panas berulang kali tidak selamat untuk kesihatan pengguna.

Beberapa pengilang dipercayai membeli minyak masak terpakai di restoran menerusi orang tengah dan memprosesnya semula untuk dijual.
Sampel yang dihantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diuji ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semua 19 jenama tidak menepati piawaian antarabangsa.

Akta Makanan 1983 masih belum menyenaraikan piawaian untuk menguji bahan campuran yang terkandung dalam minyak masak.
Kesatuan Eropah menetapkan bahawa bahan campuran sepatutnya berada pada tahap 25 peratus manakala Australia dan Switzerland menghadkan 27 peratus.
Semua 13 sampel yang diuji menunjukkan bahan campuran berada di antara 28.4 hingga 70.8 peratus.

"Ujian jelas membuktikan bahawa minyak tersebut bukan minyak baru diproses dan didedahkan kepada haba tinggi.

"Perubahan bahan terjadi apabila minyak digunakan berulang kali untuk memasak," katanya kepada The Star.

Ratna Devi percaya, minyak masak tersebut telah dikitar semula menjadi biodiesel untuk kegunaan enjin diesel.

Katanya, minyak itu cukup popular di kalangan pengguna kerana harganya yang murah.
Berdasarkan tinjauan, kebanyakan restoran di Klang Valley menggunakan minyak masak tersebut.

Ratna yang juga berpengalaman dalam sains makanan berkata, minyak masak kitar semula itu turut digunakan dalam pemakanan haiwan.

Beberapa tahun lalu, pihak berkuasa China menguatkuasakan tindakan mengumpul minyak masak terpakai dan hanya membenarkan pihak yang dibenarkan untuk mengumpul dan memindahkan bahan terpakai itu dari dapur restoran di negara berkenaan.

<Persatuan Pengguna Islam Malaysia>

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2013 PERLING PUTIH All Right Reserved | Share on Blogger Template Free