Breaking News
Loading...

Ketahui Nama-Nama Besar Yang Tewas Mengejut Di PRU 13

Datuk Seri Ali Rustam

Pilihan Raya ke-13 (PRU13) dilihat sebagai medan kejutan dimana ramai calon dari Barisan Nasional (BN) yang dianggap mampu memenangi beberapa buah kerusi tewas mengejut malah ia juga dinilai sebagai kebangkitan Pakatan Rakyat (PR) melalui dua kejayaan cemerlang parti komponennya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Bermula dengan kekalahan mengejut Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman di tangan Penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi ‘panas’, Parlimen Gelang Patah, ia kemudian melarat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam di Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Akin dari PKR.

Turut tewas ialah empat menteri kabinet iaitu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Benard Giluk Dompok.

Kong, yang juga setiausaha kehormat MCA, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lumut, Perak yang dimenanginya pada 2008 kepada calon PKR Mohamad Imran Abd Hamid dengan majoriti 8,168 undi.

Sementara dalam perebutan tiga penjuru yang melibatkan Raja Nong Chik, Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Rusli Baba (Bebas) di Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Raja Nong Chik yang pertama kali bertanding di kawasan parlimen itu tewas kepada Nurul Izzah dengan majoriti 1,847 undi.

Di kawasan Parlimen Alor Star, Kedah yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, yang melibatkan Chor selaku penyandang kawasan berkenaan, tewas kepada calon PKR Gooi Hsiao-Leung dengan majoriti 1,873 undi. Naib Presiden MCA itu menghadapi pertandingan empat penjuru iaitu berhadapan Gooi, Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Abdul Wahid (Bersama).

Sementara Benard, yang juga Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) tewas kepada calon PKR, Iginatius Dorell Leiking dengan majoriti 10,216 undi.

Meskipun BN beroleh kemenangan majoriti mudah, nama-nama besar lain antaranya Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Noordin, dan S.Devamany turut tewas mengejut.

Malah kemenangan kerajaan BN Terengganu turut dibayangi pengurangan majoriti yang mendadak.     
Mat Sabu
Selain itu, beberapa nama besar dalam Pakatan Rakyat turut menerima tamparan yang sama, antaranya Husam Musa yang tewas di Putrajaya, Salahuddin Ayub tewas di Parlimen Kulai dan DUN Nusajaya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution kalah di Kulim-Bandar Baharu, Timbalan Presiden PAS, Haron Din kalah di Arau dan Mohamad Sabu kalah di Pendang.

Malah kerajaan PAS di Kedah berjaya ditumbangkan dan dirampas semula oleh BN dan majoriti kemenangan PAS di Kelantan berjaya dikurangkan.

BN pula seharusnya berterima kasih kepada penyelamat-penyelamat ‘maruah’ mereka dari Sarawak dan Sabah yang banyak menyumbang kepada kerusi mereka di Parlimen - Astro Awani


Untuk Keputusan LIVE Dan Penuh Pilihanraya ke 13 boleh layari di SINI


0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2013 PERLING PUTIH All Right Reserved | Share on Blogger Template Free