Breaking News
Loading...

Khasiat Dan Keburukan Rumpai Laut



Rumpai Laut

Rumpai Laut Dipercayai sebagai ejen penuaan untuk menambah kolagen

Rumpai laut yang dianggap 'ibu kolagen' mentah kini semakin popular dan ramai khususnya wanita mengambilnya untuk dijadikan makanan tambahan bagi menjaga kesihatan serta kecantikan. 

Khazanah laut pelbagai warna seperti hijau, merah, hijau biru dan perang ini boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan. 

Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta karotein serta protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit," Dr Muta Harah Zakaria, Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, UPM.


Penggunaan ibu kolegen spesis Eucheuma Cottonii dan Euchuema Kappayachus atau nama tempatannya agar-agar kini dipelbagaikan fungsinya dalam bidang kecantikan dan boleh didapati daripada rumpai mentah, sabun dan pil melalui ekstrak rumpai. 

Harga rumpai laut yang banyak tumbuh melatari laut di Sabah ini begitu murah dan mempunyai gred tersendiri. Dijual dengan harga serendah RM5 untuk seratus gram gred AA sehingga mencecah RM20 untuk kuantiti yang sama bagi gred AAA. Produk berasaskan rumpai laut ini juga banyak dipasarkan menerusi jualan langsung dengan pelbagai jenama.

Khasiatnya dikatakan lebih berkali ganda daripada menghirup sup ikan Yu atau sup sarang burung yang harganya lebih mahal membuatkan ramai wanita memilih tumbuhan dasar laut itu.

Menjamin kecantikan? 
Persoalannya adakah rumpai laut jenis itu mengandungi kolegen untuk mampu menjadi ejen anti penuaan, menambah keserian, keanjalan dan kemulusan kulit? Adakah ia selamat digunakan? Adakah ia bebas daripada keracunan dan mendatangkan kesan jangka panjang kepada kulit dan kesihatan kepada pengamalnya?

Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muta Harah Zakaria, ketika diminta mengulas mengenai fenomena pengambilan rumpai laut, menegaskan makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kolagen di dalam kulit. 

Katanya, bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam pembuatan kosmetik dan digunakan banyak kepentingannya dalam bidang perubatan.

“Rumpai laut seperti Laminaria, Fucus, Sargassum dan Turbinaria sudah digunakan sejak berkurun dulu untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, cirit-birit dan masalah usus kecil. 

“Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma,” katanya dihubungi, baru-baru ini.

Pelbagai khasiat
Ditanya benarkan rumpai laut mengandungi kolagen, beliau berkata sebenarnya kolagen adalah struktur protein yang berfungsi sebagai pelekat dalam badan. 

Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen memberikan struktur kepada badan, melindungi, menyokong tisu lembut dan menyambungkannya dengan tulang badan.

“Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit. Misalnya rumpai laut hijau Caulerpa racemosa mengandungi protein yang tinggi iaitu 11.16 peratus berbanding kubis bunga 1.8 peratus saja,” katanya.

Rumpai laut jenis merah (misalnya Kappaphycus sp) mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber bahan mentah untuk pengekstrakan karagenan iaitu kandungan bahan yang ada dalam rumpai laut yang dianggap sebagai kolagen oleh orang ramai.

Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel.
Jelasnya, kandungan karagenan dalam rumpai laut yang sudah di ekstrak membantu mengekalkan keanjalan kulit dan kerana orang ramai menganggap tumbuhan itu membekalkan kolegen. 

Kajian lain
Berdasarkan pencarian hasil kajian terhadap kebaikan rumpai laut jelas menunjukkan bahan berkenaan mampu bertindak secara positif dalam membantu mencantikkan kulit, antaranya:

* Laman berita CBS New York, melaporkan kajian baru mereka menjelaskan rumpai laut mungkin benar-benar berfungsi membantu masalah kesihatan dan memperbaiki kulit. Beberapa pandangan umum diambil daripada pakar yang menyarankan pengambilan rumpai laut organik dan bukan yang sudah dituai kerana dikhuatiri tidak selamat untuk dimakan.

* Kaunselor Kesihatan Holistik New York, Andre Beaman, berkata rumpai laut mengandungi vitamin dan mineral. 

“Saya rasa ramai dan lebih ramai orang Amerika mula makan tumbuhan ini dan menemui khasiatnya. Rumpai jenis Nori antara yang tumbuhan laut paling popular dengan warna hijau dan hitam yang membalut sekeliling sushi,” katanya.

* Pemilik syarikat produk kecantikan rumpai laut New York, Lydia Sarfati, menerangkan kepada CBS rumpai laut mampu menyahtoksik dan mencantikkan kulit tanpa sebarang mudarat pada kulit.

* Pakar Dermatologi New York, Dr Jebra Jaliman, berkata rumpai laut yang melatari laut mempunyai vitamin yang sangat baik dan antioksidan yang mampu memerangi penyakit ekszema dan rosacea. Rumpai laut mempunyai banyak vitamin B, E dan C, selain mampu mengatasi masalah keradangan kulit.

* Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Beth Israel, berkata barisan penyelidik berharap tumbuhan itu menjadi bahan berkesan menangani penyakit jantung dan arthritis.

“Kajian demi kajian dilakukan untuk melihat sama ada rumpai laut benar-benar memberi kesan yang boleh dibuktikan secara saintifik,” katanya.

INFO: Rumpai laut
* Industri rumpai laut dijangka berkembang apabila ia turut diperluaskan sebagai bahan tambahan dalam pelbagai produk kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik.
* 150,000 tan metrik rumpai laut dikeluarkan dengan nilai RM1.45 bilion menjelang tahun 2020.
* Sabah pengeluar rumpai laut di Malaysia 

INFO: Khasiat rumpai laut untuk kecantikan dan kesihatan

Kesihatan
• Terkenal sebagai ejen kecantikan kulit semula jadi.
• Menjadikan kulit lebih putih dan tegang.
• Melancarkan kitaran darah.
• Melicin dan menegangkan kulit dan payudara ( anti penuaan)
• Melambatkan proses penuaan dan melangsingkan badan.
• Mengekalkan kelembapan dan menganjalkan kulit.
• Menaikkan tekstur kulit dan seri wajah.
• Mengurangkan pembentukkan selulit.
• Menguatkan akar rambut dan menjadikan rambut sihat dan bersinar

Kecantikan
• Menambah baik dan meningkatkan tahap kesihatan sendi tulang.
• Meningkatkan nafsu dan daya keintiman
• Iodine yang ada di dalamnya mampu memperbaiki fungsi kelenjar thyroid sekaligus mencegah masalah Goiter iaitu kelenjar Thyroid membengkak.
• Membantu mengurangkan kolestorel dalam badan.
• Membantu dan merawat penyakit gastrik.

Keburukan
* Jangan mengambil terlalu berlebihan kerana rumpai laut mengandungi iodin yang boleh menyebabkan keracunan, sakit perut dan mampu menghakis perut.

<Berita Harian>

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2013 PERLING PUTIH All Right Reserved | Share on Blogger Template Free