Tarikh Kejohanan Liga Hoki Dunia 2013 Di Johor Bahru

Stadium Hoki Taman Daya

KEJOHANAN Pusingan Ketiga Saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, pada 29 Jun hingga 7 Julai depan, akan tetap diteruskan walaupun negara dilanda jerebu.

Kejohanan itu menerima penajaan keseluruhan berjumlah RM740,000 iaitu sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000; Tenaga  Nasional Berhad, Majlis Sukan Negara dan DRB Hicom, masing-masing RM100,000, manakala Gabungan AQSR Sdn Bhd, Lembaga Tabung  Angkatan Tentera dan Wazlian Group, masing-masing RM50,000 serta Nestle Product Sdn Bhd sebanyak RM40,000.

Berada dalam Kumpulan B, skuad hoki negara diletakkan bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan manakala Kumpulan A  persaingan melibatkan Jerman, Korea Selatan, Argentina dan Jepun.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap skuad kebangsaan mampu memberikan persembahan cemerlang dalam saingan ini dan seterusnya mara ke Piala Dunia 2014 tahun depan.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan berprestij seperti Piala Dunia ialah pada tahun 2002 di Kuala Lumpur manakala pencapaian terbaik skuad negara pada Piala Dunia adalah meraih tempat keempat pada 1975.

Sebanyak 12 pasukan layak ke Piala Dunia dengan empat pasukan terbaik dipilih daripada kejohanan liga yang diadakan di sini dan empat pasukan lagi dari kejohanan di Belanda, satu slot untuk tuan rumah dan tiga lagi dipilih daripada juara benua.




0 Response to "Tarikh Kejohanan Liga Hoki Dunia 2013 Di Johor Bahru "

Post a Comment