Logo Dan Tema Hari Kebangsaan 2013 Ke 56 - Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' akan menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 pada 31 Ogos tahun ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, tema itu lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa.

"Tema ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara," kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.

"Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan," katanya.

Kata kementerian itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 ini, beberapa acara akan diadakan bagi meraikan hari kegemilangan ini termasuklah Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos ini di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2013 akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya.

Kata kementerian itu, acara yang bermula pada jam 5 petang itu dimeriahkan dengan Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya.

Acara lain termasuk perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka melibatkan persembahan pasukan keselamatan negara yang terdiri daripada gabungan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pameran aset pasukan keselamatan negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM juga akan mengisi acara pada sambutan hari kemerdekaan nanti.

"Acara ini melibatkan empat segmen iaitu Rukunegara, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteran Bersama dan MalaysiaKu Berdaulat : Tanah Tumpahnya DarahKu dengan penyertaan lebih kurang 4,000 orang termasuk acara formasi di padang.

Kementerian itu berkata, 2013 juga istimewa kerana ia merupakan Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia dan sempena itu, negeri Sabah dan Sarawak akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan sambutan ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesemua program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 di laman web www.malaysiamerdeka.gov.my. - UTUSAN ONLINE


1 Response to "Logo Dan Tema Hari Kebangsaan 2013 Ke 56 - Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku"

  1. Assalammualaikum...PP,

    Tema hari kebangsaan tahun nie ,,,

    mselim3

    ReplyDelete